Catatan Popular

Ahad, 31 Julai 2011

Lailatulqadar

Lailatulqadar adalah malam yang dinanti-nantikan oleh semua umat islam.  Nabi Muhammad s.a.w bersabda Lailatulqadar berlaku pada 10 malam terakhir, diperincikan lagi bahawa malam tersebut berlaku pada malam yang ganjil bermula pada 10 malam terakhir.  Betapa Nabi kita mengambil berat tentang malam tersebut dan memperingatkan umatnya agar bangun ditengah 10 malam terakhir untuk merebut ganjaran yang dijanjikan Allah tersebut dengan melakukan solat-solat sunat dan membaca al-quran.

Pendekatan yang saya ambil mungkin agak berbeza untuk bertemu dengan malam Lailatulqadar...  Amalan bangun ditengah malam untuk mencari Lailatulqadar wajar dimulakan dari malam pertama Ramadhan lagi.  Jawapannya mudah.  Apabila kita terbiasa dengan amalan tersebut sejak dari awal lagi kita akan mudah juga untuk bangun pada 10 malam terakhir tersebut kerana amalan tersebut dilakukan secara istiqamah.  Dan sudah pasti jugalah kita tidak akan tertinggal untuk bertemu lailatulqadar, InsyaAllah...

Kita juga perlu banyak berdoa kepada Allah agar kita dipertemukan dengan malam Lailatulqadar tersebut pada setiap hari.  InsyaAllah, Allah akan perkenankan permintaan dan doa kita itu.. Sentiasalah berdoa tidak kira dimana dan apa jua yang kita lakukan kerana doa tidak semestinya dilakukan selepas waktu solat sahaja.

Jumaat, 29 Julai 2011

Jika Kita Permudahkan Urusan Orang, Allah Akan Permudahkan Urusan Kita

Setiap daripada kita pernah merasa kecewa bila meminta pertolongan dengan seseorang dan orang yang kita harapkan tidak dapat membantu kita sedangkan bila orang tersebut meminta bantuan kita, dengan mudahnya kita akan menghulurkan bantuan. 

Konsep yang saya pelajari amat mudah, apabila kita memudahkan urusan orang, maka Allah akan memudahkan segala urusan kita.  Hatta jika kita berada dalam kesusahan pada tika itu, bantuan Allah akan datang tanpa di duga samada melalui orang lain ataupun melalui ilham yang dikurniakannya tanpa disangka-sangka.  Perkara sebegitu telah banyak kali berlaku dalam kehidupan seharian saya, Allah permudahkan urusan saya bila saya dalam kesempitan atau kesusahan.  Alhamdulillah...

Seboleh-bolehnya setiap hari saya berusaha memudahkan segala urusan orang ketika berurusan dengan sesiapa pun sewaktu bekerja samada pelajar mahupun staf UiTM.  Bila saya berbuat begitu saya mendapat kepuasan ketika bekerja.  Itulah yang saya mahukan.  Kerana setiap perkara yang kita lakukan dengan ikhlas dan jujur pasti ganjaran pahala yang kita dapat.





Selasa, 26 Julai 2011

Nikmat Kesihatan

Kita patut bersyukur kepada Allah jika kita masih diberikan kesihatan yang baik sehingga ke saat ini.  Apabila kita bersyukur Allah akan menambahkan lagi nikmat yang diberikanNya kepada kita.  Nikmat kesihatan juga adalah sesuatu yang sangat berharga kepada setiap orang. Tanpa kesihatan yang baik sukar untuk kita melakukan aktiviti atau urusan harian.

Sekaya mana pun kita, setinggi mana darjah yang kita ada, sebanyak mana duit yang kita peroleh jika nikmat kesihtan telah ditarik Allah tiada ertinya semua kemewahan dan kemuliaan yang kita kecapi.  Justeru persoalan yang ingin saya lontarkan apakah sudah memadai amalan seharian yang kita lakukan dengan nikmat kesihatan yang kita perolehi? 

Ramai diantara kita mengambil mudah tentang amalan yang wajib untuk kita kerjakan apatah lagi amalan sunat mugkin jauh sekali untuk dilakukan.  Jika tidak dari usia muda kita bentuk dan didik diri kita untuk melakukan amalan-amalan wajib sukar untuk kita melaksanakannya apabila usia telah meningkat.  Ada antara kita yang mahu berubah apabila tua, tapi hakikatnya bilakah umur usia tua kita? kerana kita mahu sentiasa kelihatan muda dan berjiwa seperti orang muda walupun kita sudah tua.  Jika usia kita tidak panjang maka tidak sempatlah untuk kita melakukan amalan wajib dan sunat. 

Kebiasaannya apabila usia meningkat keadaan kesihatan semakin merosot.  Bagaimana untuk kita beribadat kepadaNya sekiranya perkara itu berlaku.  Justera kita perlu mendidik diri kita dari sekarang untuk mempertingkatkan amalan kita seperti puasa sunat Isnin Khamis, melakukan solat-solat sunat kerana amalan yang terbiasa kita lakukan biasanya mudah untuk kita lakukannya sampai bila-bila pun.

Faktor pemakanan memainkan peranan yang penting kepada tubuh badan kita ditambah dengan melakukan aktiviti-aktivit yang menyihatkan seperti bersukan.  Jagalah pemakanan kita sekiranya kita ingin kekal sihat sepanjang hayat.

Dari sudut pengalaman saya pula, ada diantara kita penyakit sebenarnya memberikan impak dan kesan yang positif kepada mereka.  Ini kerana mereka sudah tahu jenis penyakit yang mereka hidap samada merbahaya atau tidak, jadi mereka telah mula berubah menjadi yang lebih baik dan sentiasa mendekatkan diri kepadaNya.  Tapi adakah kita ingin jadi seperti itu?  Tentu sekali jawapannya tidak....

Jumaat, 22 Julai 2011

Ujian Menguji Kesabaran

Setiap daripada kita tidak terlepas daripada di timpa ujian atau musibah.  Tetapi kita harus sedar bahawa setiap ujian yang datang itu merupakan yang mampu kita tanggung.  Allah tidak zalim dan tidak sesekali kejam terhadap hamba-hambaNya kerana Dia Maha Mengetahui disebalik apa yang berlaku dengan ujian yang kita tanggung.  Kerana ujian yang diberi sesuai dengan kemampuan kita.  Subhanallah...

Disebalik ujian atau musibah tersebut saya suka melihat dari sudut positif.  Apabila kita melihat secara positif maka secara lahiriahnya kita juga akan berfikiran dan berkata yang positif dengan ujian yang kita tanggung.  Hikmahnya adalah Allah mahu melihat sejauh mana kita dapat bersabar dan redha dengan ujian tersebut kerana di sisi Allah jualah pahala ganjarannya bagi orang-orang yang bersabar.

Ramai di antara kita (termasuk saya sendiri) apabila ditimpa kesusahan barulah pada masa itu kita mendekatkan diri kepada Nya dengan melakukan amalan-amalan  sunat seperti tahujud di tengah malam.  Tapi agak sukar bagi kita untuk mengekalkan momentem bangun malam untuk melakukan tahajud.  Alangkah indahnya jika kita dapat melakukannya secara istiqamah pada setiap malam. 

Allah akan sentiasa menguji hambanya atas bebarapa faktor.  Ujian tersebut kadangkalnya berbentuk musibah.  Pertamanya kerana atas dosa yang kita lakukan.  Keduanya kerana Allah sayangkan kita justeru itu dia menurunkan ujian menandakan mungkin kita terleka dan lalai seketika daripada mengingatiNya.  Tapi rahsia disebalik apa yang berlaku hanya Allah sahaja yang mengetahuinya apa yang terbaik untuk kita. Sebagai contoh sekiranya kita sering berdoa untuk menjadi kaya tetap hingga kini kita masih dalam kesusahan dan kesempitan hidup maka ada hikmanya kita kekal berkeadaan begitu.. Kerana jika kita kaya mungkin kita lalai dari mengingati Allah dan sentiasa hidup dalam bergelumang dengan dosa.

Justeru itu kita perlu sentiasa berdoa dan mengharapkan rahmat Allah.  Rahmat Allah jualah yang melindungi kita daripada perkara-perkara yang tidak baik.  Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar. 

Ya Allah aku memohon keampunan dan rahmatMu...

Rabu, 20 Julai 2011

Hijrah ke Shah Alam

Masih igt lg sewaktu mula-mula sy hendak menjejakkan kaki di Shah Alam pada 31 Oktober 2010, berat hati untuk melangkah ke Shah Alam tanpa ditemani isteri tersayang.  Pada waktu itu Intan sedang sarat mengandung dan kami mengambil keputusan untuk berjauhan sementara sementara menunggu hari Intan bersalin dan lepas berpantang di rumah mak.  Walaupun saya berjauhan dengan Intan tetapi tiap-tiap minggu saya akan balik ke Segamat.  Ianya sperti telah menjadi rutin mingguan buat saya selama 6 bulan berjauhan dengan Intan untuk pulang ke Segamat sekalipun Intan telah bersalin pada masa tu...

Akhirnya pada bulan April 2011 setelah Intan habis berpantang sy membawanya ke Shah Alam.  Bermulalah kehidupan baru kami disini bersama anak kami Tisya.  Apabila saya merenung kembali setiap apa yang berlaku terhadap saya ada hikmahnya.  Allah Maha Besar, rupa-rupanya apabila saya berhijrah ke Shah Alam saya dapati segalanya mudah terutama dalam mendapatkan rawatan jantung anak saya di IJN.  Bukan sahaja mudah tetapi dekat dan tidak perlu mengambil masa yang lama sekiranya hendak ke IJN disamping menjimatkan kos bahan api dan tol.

Dapat saya bayangkan sekiranya saya masih lagi di Segamat mungkin agak sukar untuk membawa Tisya ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru yang menyediakan perkhidmatan rawatan jantung kerana mengambil masa perjalanan yang agak lama dah kos-kos sampingan yang lain.

Kereta Baru
1 Januari 2011 kereta baru Perodua VIVA yang ditempah di Segamat tiba dirumah.  Dengan adanya kereta memudahkan pergerakkan kami untuk kemana sahaja.  Kereta memang menjadi keperluan kepada semua orang pada masa kini. Mungkin jika saya masih di Segamat belum pasti lagi saya dapat memiliki kereta sendiri.  Semuanya berlaku dengan pantas selepas saya dinaikkan pangkat dan berhijrah ke Shah Alam.  Rezeki dari Allah.  Saya sentiasa ingat bahawa semua yang dikurniakan Allah hanya pinjaman semata-mata dariNYA. Bila-bila masa Allah boleh menarik segala nikmat yang diberikan kepada kita jika DIA berkehendakkan begitu.

Selasa, 19 Julai 2011

Anakku Nur Afrina Batrisyia

Tisya..  Itu adalah panggilan singkatan untuk saya dan Intan(nama manja isteri) kepada anak kami yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t.  Tujuh hari lagi genaplah 6 bulan usianya..  Tisya seorang anak yang cerdik dan bijak.  Mana tidaknya..sekarang dah pandai merajuk.  Semalam sewaktu Intan sibuk memasak didapur dan saya pula sedang membersihkan diri terdengar Tisyia menangis.  Adalah dalam 2-3 minit kami biarkannya sementara.  Selesai bersihkan diri dgn keadaan tergesa-gesa saya mendapatkannya dan terus berinya susu.  Tisya minum susu yg diberi tetapi mukanya mengiring kesebelah kanan dan tidak menoleh pun kearah saya semasa diberikan susu.  Tanda dia merajuk.  Saya tertawa kecil dalam hati melihatkan telatah Tisya yang merajuk.  Sambil-sambil tu saya pujuk Tisya.  Lepas dipujuk barulah dia menoleh ke arah saya semula.  Anak walid yang bijak, kecil-kecil lagi dah faham cakap orang yang melayannya.

Tisya dilahirkan pada 26 Januari 2011 tepat jam 11.12 pagi dengan berat 3.0 kg di Hospital Segamat.  Semasa dilahirkan keadaannya sihat dan sempurna.  Cuma Tisya di tahan sementara di wad 'baby' untuk beberapa hari kerana kuning sedikit menurut kata doktor.  Selepas beberapa hari Tisya dan Intan dibenarkan pulang kerumah tetapi perlu berjumpa dgn Dr. Intan iaitu Doktor Pakar Kanan-Kanak pada 25 April 2011.  Pada masa tersebut saya ambil cuti sehari memandangkan saya bekerja di Shah Alam manakala Intan berpantang di rumah mak saya di segamat.  Dr.Intan memaklumkan anak saya mengalami masalah jantung.  Pada tika itu saya melihat bergenang air mata Intan sewaktu Dr. memberitahu keadaan anak saya setelah diperiksa.  Saya menenangkan isteri saya pada tika itu.  Allah menguji kesabaran kami dan kami menerimanya dengan reda.  Saya mengambil keputusan meminta Dr. untuk membuat surat rujukan ke Hospital Klang yang berdekatan dgn Shah Alam kerana saya mahu membawa isteri dan anak saya pindah daripada Segamat Ke Shah Alam.

Setelah mendapatkan rawatan di Hospital Klang, pihak hospital meminta anak saya dibawa ke IJN untuk rawatan lanjut setelah pihak hospital mendapatkan tarikh temujanji dengan IJN.  Diringkaskan cerita, setelah mendapatkan rawatn di IJN anak saya telah disahkan oleh Dr. Pakar Jantung menyatakan terdapat 2 saluran injap jantung anak saya sempit dan perlukan pembedahan.  Salah satu saluran injap perlu 'operation' sekiranya saluran tersebut semakin menyempit dan 1 saluran lagi tidak perlu 'operation' kerana berada pada tahap ringan.  Mengikut kata Dr. bagi jantung yang normal memiliki 4 bahagian tetapi tidak pada Tisya.  Tisya memiliki 5 bahagian dijantungnya dan bahagian yang kelima tersebut perlukan juga pembedahan.  InsyaAllah pada 25 Ogos nanti Tisya sekali lagi akan dibawa ke IJN untuk mendapatkan rawatan susulan.... 

Isnin, 18 Julai 2011

Solat Sunat Dhuha

Terlebih dahulu saya memohon keampunan Allah s.w.t seandainya catatan saya ini akan menimbulkan raya riak buat diri saya sendiri..  Astagfirullahhal azim...Ya Allah aku memohon keampunan dari mu Ya Allah. Tidak terlintas untuk saya membangga diri dengan amalan sunat yang saya sering lakukan..

Solat Dhuha,
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya sering melakukan amalan solat sunat dhuha.  Alhamdulillah Allah memberikan kekuatan untuk saya terus lakukannya secara istiqamah... Fadilatnya amat besar bagi mereka yang mengamalkannya secara istiqamah antaranya dimurahkan rezeki oleh Allah dan mudah mendapat jodoh bagi mereka yang masih belum berkahwin. Ganjarannya pasti Allah akan beri, InsyaAllah.  Saya ingin berkongsi pengalaman dimana solat dhuha telah meninggal kesan yang amat mendalam dalam diri saya sendiri.  Antaranya saya dipermudahkan mendapat jodoh oleh Allah pada tika awal-awal saya melakukan amalan ini.  Alhamdulillah saya bukan sahaja mendapat isteri yang baik, cantik malah pandai memasak. (1 pakej yang lengkap sebagai seorang isteri).hehehe...

Naik Pangkat,
Solat dhuha juga telah mengubah kehidupan saya dan keluarga dimana saya telah mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka.  Antaranya tanggal 1 November 2010 saya telah dinaikan pangkat dan ditawarkan jawatan Pegawai Eksekutif di UiTM tetapi dalam pada masa yang sama saya ditukarkan dari UiTM Johor ke UiTM Shah Alam.  Bermulalah satu kehidupan yang baru buat diri saya dan keluarga.  Saya melahirkan rasa syukur kepada Allah dengan hanya menjalani sekali temuduga saya telah mendapat jawatan yang saya selalu idam-idamkan dahulu. Jujur saya katakan saya tidak menduga sama sekali akan mendapat jawatan tersebut kerana semasa temuduga dijalankan hampir 70 orang yang datang untuk temuduga jawatan tersebut dan keesokan harinya saya diminta hadir sekali lagi untuk sesi kedua temuduga dan kali ini hampir 40 orang yang berjaya ditapis dan layak untuk sesi temuduga.  Bukan calang-calang orang yang dipanggil, saya dapati ramai staf yang lebih lama dan 'senior' dari saya ketika menjalani temuduga tersebut dan ada yang telah lebih daripada 5 kali menjalani temuduga untuk jawatan yang sama.  Alhamdulillah setelah 5 bulan berlalu berkat doa ibu, abah dan isteri akhirnya saya dapat jawatan tersebut.

Dalam pada masa yang sama saya sering mengingatkan diri saya dan isteri bahawa nikmat dan rezeki yang Allah beri hanya pinjaman sementara dari-Nya.  Jika Allah mahukan kembali pada bila-bila masa sahaja DIA mampu untuk menariknya dari apa yang telah diberikan-NYA kepada kami...

Ahad, 17 Julai 2011

Alhamdulillah..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Allah swt.  akhirnya berjaya juga sy membuat blog sendiri...  Seronok rasanya apabila perkara yang dihajati selama ini akhirnya terlaksana jgk pada hari ini.  Org pertama yang sy bg tau adalah isteri kerana dia adalah org yg paling hampir dan rapat dlm kehidupan sy.  Semoga Allah akan sentiasa membantu sy dlm membuat catatan yang baik dlm kehidupan harian yang penuh dgn kesederhaan tetapi dlm pada masa yg sama bahagia bersama keluarga tercinta.. 

Wallahhualam...