Antara kenangan puasa yang tidak saya dapat lupakan pada tahun ini antaranya adalah berbuka puasa bersama DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Tunku Mizan yang merupakan juga Canselor UiTM. Permaisuri Agong juga turut serta dalam program tersebut. Selang beberapa hari pula saya berpeluang berbuka bersama Sultan Selangor di masjid yang sama iaitu di Masjid Tunku Mizan UiTM. Yang Dipertuan Agong dan Sultan Selangor berkenan menunaikan solat fardu maghrib dan seterusnya menunaikan solat sunat tarawih selepas solat Isyak.
Seperti biasa saya suka setiap kali solat berjamaah berada di saf pertama dan berhampiran dengan Imam. Secara tidak langsung saya berada sebaris Yang Dipertuan Agong semasa menunaikan solat berjamaah. Selesai solat tarawih saya tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan Yang Dipertuan Agong Tunku Mizan, begitu juga dengan Sultan Selangor.
Selama ini saya hanya melihat Yang Dipertuan Agong dan Baginda Sultan dikaca tv dan dada-dada akhbar. Peluang sebegini tak pernah saya alami semasa berada di Johor. Inilah salah satu kelebihan apabila bertugas di UiTM Shah Alam yang jarang-jarang kampus cawangan alaminya dan kadangkala boleh dikatakan tiada langsung di sesetengah tempat atau cawangan lain.